Bismillahirrahmaanirrahiim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat-sahabat Fillah yang dirahmati Allah,
Ibu bapa adalah orang
yang paling berjasa kepada anak-anaknya. Bermula daripada kesusahan
ibunya mengandung selama 9 bulan 9 hari. Kesusahan melahirkan anak-anak
dan menyusukan dan membesarkan mereka.
Sememangnya, kedudukan
atau darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia dan tinggi sekali,
sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan
Allah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Keredhaan
Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak
pada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).
Terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim bahwa seorang
sahabat bertanya Nabi SAW mengenai apakah jasa yang boleh dilakukan oleh
anak kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.?
“Ya
Rasul Allah, masih dapatkah saya berbuat baik terhadap ibu bapa saya
meskipun mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka masih hidup saya
telah berbuat baik terhadap mereka mengikut apa yang terdaya oleh saya.
Saya sentiasa berfikir apakah yang boleh saya lakukan setelah keduanya
meninggal dunia.”
Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud :
“Ya…dapat, solatkanlah untuk kedua ibu bapa kamu, mohon keampunan untuk
keduanya, laksanakanlah wasiatnya dan eratkanlah silaturahim dengan
orang-orang yang kedua ibu bapa kamu lakukan serta muliakanlah teman
kedua ibu bapa kamu.”
“Apabila meninggal dunia seorang anak Adam maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu :
1. Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2. Ilmu bermanfaat yang disebarkan serta diamalkan dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”
(Hadis Riwayat Luqman Hakim)
Berdasarkan hadis di atas terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan
oleh seorang anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia
iaitu :
1. Solatkan untuk mereka.
2. Mohon keampunan untuk mereka.
3. Laksanakan wasiat yang mereka tinggalkan.
4. Eratkanlah silaturahim dengan orang-orang yang mereka lakukan
5. Muliakanlah teman-teman mereka.
6. Doakan kepada mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada
Allah SWT untuk kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua
dosa-dosa mereka)
Selain daripada perkara-perkara diatas
seorang anak yang soleh atau solehah akan melakukan beberapa perkara
kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam
barzakh sebagai ikhtiar dan usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh
kebaikan dan tambahan pahala yang berterusan.
1. Banyakkan
bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah agama, masjid,
rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam) niatkan
untuk mereka.
2. Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.
3. Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan
surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang
lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri
sebagai seorang anak.
Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang
sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci
al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu
mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.
Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata
Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia
kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad,
bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian
curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi
kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, karena aku telah
mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam
al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)
Di
dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk: “Apa yang perlu dibaca selepas
pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Al-Syafie dan para sahabat
(ulamak Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca disisi kubur
sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka
mengkhatamkan al-Quran kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.”
(al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah: Beirut, 1996, hlm. 142 )
Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada
al-Syafi’ie tentang bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab:
“Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya:
“Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka
selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.”
4. Selesaikan semua hutang-hutang mereka , baik hutang sesama manusia
atau hutang dengan Allah SWT. Jika hutang sesama manusia tidak
diselesaikan roh mereka akan tergantung di antara langit dan bumi.
Hutang dengan Allah SWT adalah nazarnya (jika ada). fidyah karena
meninggalkan puasa. Jika ibu bapa mempunyai hutang dengan bank seperti
rumah, kereta dan lain-lain pinjaman tersebut melalui cara riba maka
tukarkanlah pinjaman tersebut kepada cara muamalah Islam dan tukar hak
milik kepada anak-anak, karena berat dosanya yang ditanggung oleh ibu
bapa di alam barzakh.
5. Jika ibu bapa belum menunaikan haji
maka kita boleh menghadiahkan pahala haji untuk mereka (niatkan pahala
haji untuk mereka).
6. Beramal dengan amalan Islam. Semua
anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup
Islam dengan melakukan maksiat dan dosa, anak perempuan tidak menutup
aurat, bertengkar dengan sesama adik beradik karena harta pusaka semua
tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu bapa kita yang berada
dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal karena mereka tidak mendidik
anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga mereka melakukan maksiat
kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tidak berguna lagi karena
perkara tersebut sudah berlaku.
Tetapi untuk anak-anak yang
hendak membantu ibu bapa bahagia di alam sana , hendaknya mereka banyak
beramal soleh, beramal ibadah dan beramal kebaikan karena semua pahala
yang kalian buat akan menjadi saham yang besar kepada ibu bapa kalian
yang sedang menderita di alam barzakh.
Amalkanlah ilmu yang
diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka akan mendapat pahala
ilmu yang bermanfaat. Banyakkan sedekah jariah dan niatkan untuk ibu
bapa maka ibu bapa kalian akan mendapat pahala sedekah jariah.
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Apabila kita selesai
solat fardu atau ketika berada diwaktu-waktu akhir malam , waktu
mustajab doa maka berdoalah untuk kesejahteraan ibu bapa kita yang telah
meninggal dunia :
Segala puji bagi Allah yang telah memerintah
kami untuk bersyukur dan berbuat baik kepada ibu dan bapa, dan
berwasiat agar kami menyayangi mereka berdua sebagaimana mereka telah
mendidiki kami sewaktu kecil.
Ya Allah sayangilah kedua orang tua kami. Ampuni, rahmati dan redhailah mereka.
Ya Allah ampunilah mereka dengan keampunan menyeluruh yang dapat
menghapuskan dosa-dosa mereka yang lampau dan perbuatan buruk yang terus
menerus mereka lakukan.
Ya Allah, berbuat baiklah kepada
mereka sebanyak kebaikan mereka kepada kami setelah dilipatgandakan, dan
pandanglah mereka dengan pandangan kasih sayang sebagaimana mereka
dahulu memandang kami.
Ya Allah berilah mereka hak rububiyah-Mu yang telah mereka sia-siakan kerana sibuk mendidik kami.
Maafkanlah segala kekurangan mereka dalam mengabdi kepada-Mu kerana mengutamakan kami.
Maafkanlah mereka atas segala dosa, maksiat dan syubahat yang mereka jalani dalam usaha menghidupkan kami.
Ya Allah berilah mereka bagian ganjaran dari ketaatan yang Engkau
hidayahkan kepada kami, kebaikan yang Engkau mudahkan bagi kami, dan
taufiq yang telah mendekatkan kami kepada-Mu.
Dan jangan
bebankan kepada mereka segala dosa dan kesalahan yang kami lakukan dan
tanggungjawab yang kami abaikan. Dan janganlah tambahkan dosa kami ke
atas dosa mereka.
Bagi ibu bapa dan nenek moyang kami yang
telah meninggal, berikanlah mereka rahmat yang menerangi pembaringan
mereka di kubur dan rahmat yang menimbulkan rasa aman ketika manusia
merasa ketakutan saat dibangkitkan. Jadikanlah lubang kubur mereka
daripada taman-taman syurga. Jauhkan lubang kubur mereka salah satu
daripada lubang-lubang api neraka.
Ya Allah lemah lembutlah
kepada mereka yang berbaring di kubur dengan kelembutan yang melebihi
sikap lembut mereka kepada kami di masa hidup mereka.
Ya Allah
janganlah sampaikan kepada mereka berita tentang kami yang mengecewakan
mereka, dan jangan bebankan dosa-dosa kami kepada mereka.
Jangan hinakan mereka di hadapan pasukan kematian, malaikat Munkar dan
Nakir dengan perbuatan-perbuatan hina dan mungkar yang kami lakukan.
Senangkanlah roh mereka dengan amal-amal kami di tempat pertemuan para
arwah, ketika orang yang soleh bergembira dengan putera-puteri mereka
yang soleh. Janganlah jadikan mereka ternoda oleh perbuatan buruk kami.
Ya Allah jadikanlah kami penyejuk hati mereka pada hari berdirinya para
saksi. Dan jadikanlah mereka orang-orang yang paling cemburu dengan
keberhasilan anak-anak mereka hingga Engkau kumpulkan kami, mereka dan
segenap kaum muslimin di negeri kemuliaan-Mu, tempat menetapnya
rahmat-Mu, dan tempat para wali-Mu bersama orang-orang yang Engkau beri
kenikmatan,
Yaitu, para nabi, shiddiqin, syuhada dan solihin, mereka itulah sebaik-baiknya teman.
Demikianlah kurnia dari Allah dan Allah cukup mengetahui. Selawat dan
salam semoga dilimpahkan Allah kepada junjungan kami Nabi Muhammad
S.A.W, keluarga dan para sahabat baginda.
Allahumma Amin Ya Rabbal ‘Aalamiin.